Penubuhan Pusat Penyelidikan dan Konsultasi (CRC) Institut Koperasi Malaysia (IKM) bertujuan mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan konsultasi serta menjadikannya sebagai satu budaya yang berterusan dalam kalangan warga akademik IKM. Melalui kegiatan penyelidikan dan konsultasi ini, Pegawai Latihan IKM dapat meningkatkan pengetahuan dan mendalami ilmu dalam pelbagai bidang berkaitan pengurusan dan pentadbiran koperasi yang menjadi rujukan gerakan koperasi di Malaysia.
CRC juga memainkan peranan aktif bagi menghasilkan bahan-bahan penerbitan dalam pelbagai bentuk dan menyebarluaskan maklumat yang berkaitan untuk gerakan koperasi. CRC bertanggungjawab menguruskan bahan penerbitan IKM seperti Malaysia Journal Of Cooperative Studies (MJCS) , Dimensi Koop, Buku Kisah Kejayaan Koperasi dan Monograf Penyelidikan.