Strategi teras ketiga yang digariskan dalam Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020 iaitu Mewujud dan Meningkatkan Keupayaan Modal Insan Koperasi, dipertanggungjawabkan kepada Institut Koperasi Malaysia (IKM), sebagai salah sebuah badan pelaksana. Salah satu bidang yang diberi tumpuan adalah Sektor Hartanah dan Industri Pembinaan yang dijangka dapat memberikan sumbangan signifikan terhadap nilai pemilikan aset dan perolehan koperasi menjelang 2020.
Sektor Hartanah dan Industri Pembinaan merupakan salah satu sektor yang diwujudkan oleh IKM bermula tahun 2016. Pembangunan program latihan dalam bidang pembangunan hartanah dan industri pembinaan adalah hasil perbincangan dan kajian terhadap keperluan latihan agar bersesuaian dengan kehendak gerakan koperasi dan selari dengan perubahan persekitaran semasa. Program yang akan dilaksanakan adalah seperti program jangka pendek, seminar, bicara profesional dan bengkel.