Kita menyambut tahun baharu 2020 bersama amanah besar untuk memenuhi hasrat kerajaan memperkasakan gerakan koperasi. Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030) telah menggariskan hala tuju perkembangan sektor koperasi dalam pembangunan negara yang menyasarkan pencapaian perolehan sektor koperasi sebanyak 60 bilion ringgit menjelang tahun 2025 dan 100 bilion ringgit menjelang 2030. Peranan Institut Koperasi Malaysia (IKM) sangat jelas dalam memperkasakan Pembangunan Kapasiti Modal Insan Gerakan Koperasi.
Justeru, IKM komited untuk menjadi sebuah pusat rujukan dan peneraju pembangunan modal insan koperasi yang unggul pada masa hadapan. Melalui wawasan baharu yang telah dibentuk, IKM juga mampu melahirkan lebih ramai koperator yang terlatih, kompeten dan dinamik. IKM telah mengenal pasti lima teras strategik untuk dilaksanakan dari tahun 2020 hingga 2025.
Teras-teras itu ialah:
- Anjakan pendapatan koperasi melalui program Million Ringgit Coop League (MiRiCLe)
- Membudayakan keusahawanan dalam kalangan anggota koperasi.
- Membudayakan aplikasi IR 4.0
- Mempromosi keusahawanan sosial dalam kalangan koperasi
- Rejuvenasi koperasi yang kurang berupaya maju
Pelan pelaksanaan untuk kelima-lima teras utama di atas telah dirangka dan pasukan IKM akan bergerak secara dinamik dan kreatif melalui pendekatan secara turun padang untuk membantu koperasi-koperasi.
Transformasi besar yang sedang dilaksanakan adalah untuk mengubah mindset anggota koperasi daripada menjadi anggota pasif yang mengharapkan dividen semata-mata kepada anggota aktif dan partisipatif yang juga menjadi usahawan dan menjadi pelanggan kepada koperasi pada masa yang sama.
Bagi memberi impak maklumat yang konsisten dan berkesan, IKM akan sentiasa menambah baik portal dengan pelbagai maklumat terkini, reka bentuk yang lebih infografik, menarik dan mudah untuk dilayari serta mesra pelanggan. Portal IKM akan berfungsi sebagai platform utama bagi pelbagai capaian maklumat dan menjadi ‘gerbang’ kepada sistem dalam talian IKM kepada pelanggannya.
Akhir kata, saya berharap tahun 2020 akan membawa kejayaan cemerlang kepada gerakan koperasi dalam mendukung hasrat kerajaan membawa Malaysia sebagai negara keusahawanan terunggul demi mencapai kemakmuran bersama.
Sekian, terima kasih.
Institut Koperasi Malaysia